Powered by Blogger.
RSS

Monday, November 29, 2010

PARLIMEN MAHASISWA : Kearah mematangkan Mentaliti & Keterbukaan

Bismillah.. Kalam pembuka Bicara,

Dalam ruangan kali ini, Abdul Hadi Hj Mohamad al-Bakri menulis mengenai suatu blok dalam membina kematangan mentaliti Mahasiswa/i yang dilihat kini relevan dalam mendokong proksi pentadbiran negara. Saya terbaca dalam satu petikan Akhbar yang menyatakan hasrat agar perlu diwujudkan Parlimen Mahasiswa ini sepertimana United Kingdom yang telah mengamalkannya sejak sekian lama.

Mahasiswa diberi ruang dan peluang bersama-sama dalam menyatakan pandangan terhadap polisi ataupun dasar yang digubal oleh pihak pemerintah. Menurut akhbar tersebut, YB Timbalan Menteri pengajian Tinggi, menyatakan bahawa di Malaysia, pihak kementerian telah membuka ruang yang hampir sama tetapi tidak secara holistik di Universiti Sains  Malaysia yang disebut Dewan Perwakilan Mahasiswa dimana dewan ini berfungsi sebagai platform mahasiswa melontarkan pandangan & kritikan mereka terhadap sebarang isu.

Saya berpendapat, mungkin ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak kementerian di dalam melaksanankan hasrat ini masih belum mencapai kepada sasaran yang dikehendaki. Telah tiba masanya, Mahasiswa kini diberi satu kebebasan bersuara yang diangkat martabatnya apabila di ambil kira oleh pihak pemerintah di dalam memacu negara. Walaupun begitu, ruang dan kebebasan yang diberi ini bukanlah bermakna mahasiswa boleh menjadikan medium ini untuk menghentam atau mengkritik siapa-siapa tanpa ada usul yang sahih dan jelas.

Kita boleh mengambil contoh, apabila Belanjawan Negara dibentangkan, Mahasiswa boleh mengambil bahagian dalam mengutarakan keberkesanan pembahagian belanjawan yang telah diputuskan oleh Kerajaan. Keberkesanan ini akan terbukti walaupun tidak mencakupi ruang yang maksimum. Mengapa Mahasiswa ingin diberi kuasa sebegitu rupa?? Apakah mereka akan mendominasi pemerintahan negara??

Mahasiswa adalah golongan intelek yang masih didalam pengajian. Mereka didedahkan dengan pelbagai khazanah ilmu yang berkonsepkan teori dan praktikal. Minda mereka masih segar, jiwa mereka muda dan pastinya segala idea yang dikongsikan juga segar dan bermakna. Soal mereka belum matang di dalam arena politik negara perlu diketepikan agar dengan cara ini kita dapat melahirkan, menajamkan, golongan mahasiswa yang kita tahu merekalah yang bakal mewarisi Negara kita suatu hari nanti. Jadi saya tinggalkan persoalan disini, Mengapa kita tidak memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berjinak-jinak di dalam aspek pengurusan negara secara praktikal??, sedangkan kita akan meninggalkan warisan ini nanti kepada mereka??

Semoga negara kita terus dipacu menuju kegemilangan dan kesejahteraan.
cetusan 1986

Saturday, November 27, 2010

KUPATRIKAN IA DI PUSARA SAHABATKU

Tanggal 19 November 2010, alam seakan sepi, bisu, tidak mampu mengungkapkan bicara, redup, hujan renyai-renyai sambil bayu perlahan bertiup longlai mengiringi pemergian seorang hamba dari dunia yang fana ini menuju ke alam yang abadie. Pemergiannya sungguh ku rasai, ku meniti kedewasaan ini bersamanya, ku menjalani kematangan ini juga bersamanya, riuh tawa hiba pernah dahulu ku kongsikan bersama. 

Mengapa ia pergi tanpa sempat ku bersua dengannya? begitu deras masa mengalir, tanpa memberi ku ruang dan peluang untuk kesekian kalinya.

Allahyarham Taufiq Bin Ahmad, ( 1987 -2010 ) Itulah sebuah nama yang mempunyai epilog hidup yang tercoret di dalam kisah dan kenanganku. 25 November 1986 aku dilahirkan, tarikh keramat yang menjadi kenangan manis buat keluargaku, tatkala aku dilahirkan kedunia, .. sebulan selepas itu, 2 Januari 1987, lahirnya insan yatim yang tidak berayah, Insan yang ingin ku nukilkan di dalam bingkisan ku ini, yang kini sedang melayari alam yang belum pernah kita bayangi.

Aku hidup berjiran dengannya, rumah kami rapat-rapat, aku anak bongsu daripada lima orang adik beradik dan Allahyarham pula anak yatim tunggal. Kamilah tempat ia melepaskan kerinduan untuk memiliki sebuah keluarga. Ku tahu ia ingin benar merasai bagaimana memiliki seorang abang, kakak, dan yang paling pasti seorang ayah. kami begitu akrab, namun seringkali jua kami bergaduh, bertumbuk, tak bertegur sapa dan yang paling tak kan ku lupa aku pernah tidak tersengaja lastik batu sehingga berdarah dahinya. itu tak akan aku lupa selamanya. Taufiq, maafkan aku kerana pernah menyakitimu. Sedih bila mengenangkan saat itu, terasa ingin ku putar kembali masa itu agar ia tidak terjadi.

Kenangan itu semakin bermain dalam mindaku, benar kata orang tiada istilah putus dalam persahabatan, walau kami berselisih macamana pun kami pasti akan berbaik semula. Sungguh indah apabila ukhwah dan persahabatan ini diasaskan kepada keikhlasan dan kejujuran sebagaimana persahabatan Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat baginda yang tiada tolok bandingnya untuk kita contohi. Qudwatun Hasanah dalam segenap bidang.

Pemergian Allahyarham amat menyentuh intuisi sanubari ini, apatah lagi aku tidak sempat menatap wajahnya kali yang terakhir, wajah yang pernah mengisi hidupnya bersama-samaku sejak dari kecil sehinggalah dewasa. Kami sama-sama belajar apa itu alif ba ta, apa itu A B C, dan kami juga sama-sama kena marah lantaran kenakalan kami meredah sungai, parit, paya, mandi manda bersama-sama rakan taulan yang lain. Tidak pernah ku lupa semua itu sahabatku.

Benarlah kata orang apabila ia masih ada dihadapan mata, kita jarang mensyukuri, jarang menghargai, namun pabila ia lenyap dari pandangan tidak berguna lagi kita menyesali. Sewaktu dia jatuh sakit aku hanya sempat menziarahinya sekali sahaja, itupun dia dalam keadaan koma tidak sedarkan diri. Aku hanya mampu menatapnya, diiringi dengan doa agar ia cepat sembuh dan kembali mengukirkan senyuman buat bonda mu dan kami semua sahabatmu.

Namun, semua itu tinggal kenangan, Allah SWT lebih menyanyanginya, penderitaan yang ditanggung akibat buatan sihir itu berakhir dengan terhentinya hembusan nafasnya ke udara. Udara yang segar tidak lagi mampu dihirup dan diproses oleh jantung. Jantung berhenti berdegup. Malaikat Izrail datang memberi salam lalu memberi isyarat dunia fana ini akan habis semuanya, selamanya.

Masa yang berlalu kini aku isikan dengan iktibar dan pengajaran, aku dapat merasai dan lebih menyakini bahawa MATI ITU BENAR, KUBUR ITU BENAR, SYURGA DAN NERAKA ITU JUGA BENAR kerana aku menyakini, sahabatku kini sedang menyaksikan dengan hakiki semua itu. Kini gilirannya, pernahkah aku terfikir bila pula giliran aku bakal dijemput oleh Tuhanku??

Pemergiannya memberiku seribu makna, kini aku memiliki ibu dan ayah serta keluargaku yang amat ku kasihi. Aku juga dikurniakan oleh dua insan yang amat kusayangi, seorangnya ku anggap seperti adikku dan saudara kandungku sendiri, dia amat dekat denganku, walaupun seing kami berselisih, namun itu sudah menjadi adat dalam ukhwah, dan seorang lagi bakal mewarnai hidupku dan pemberi zuriat kepada keluargaku. Aku amat menghargai mereka semua. Ya Allahjadikanlah perpisahanku dengan sahabatku ini, Allahyarham Taufiq bin Ahmad perpisahan yang sementara yang akan membawa kepada pertemuan selamanya di akhirat kelak. Amen. Sedekahkan AL-FATIHAH untuknya.

Cetusan 1986-1987
 

Friday, November 26, 2010

WAJARKAH TREND MELUAHKAN PERASAAN DI CORONG RADIO

Assalamualaikumwarahmatullah

Tertarik saya dengan satu rancangan radio swasta yang sedang meningkat popular sejak mutakhir ini sehingga berjaya menduduki rating No.1 negara. Rancangan dan lagunya yang sering diputarkan menggamit jiwa dan menepati citarasa pendengar. Apa tidaknya stesen radio ini berkonsepkan muzik retro sekitar 50-an sehinggalah 90-an yang rata-rata lagunya evergreen dan meninggalkan nostalgia yang cukup mendalam kepada pendengar.

Apa yang menjadi perhatian saya ialah apabila radio ini memuatkan satu slot dimana para pendengar diberi kebebasan untuk menyuarakan luahan rasa hati untuk dikongsi bersama. 

Apabila mendengar slot rancangan radio yang dimaksudkan ini, rata-rata pendengar memberikan respon sebagaimana yang diminta. 

ADA dikalangan pendengar cuba mengutarakan sesuatu yang menjadi belenggu dan permasalahan hidup yang agak kronik. Antara permasalahan yang sempat saya ikuti ialah masalah rumahtangga suami isteri, hubungan adik beradik, dan sebagainya.

Sesungguhnya sesiapa pun pasti akan menantikan sesuatu jawapan yang mampu membina dan sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi. Namun, agak menyedihkan sebenarnya apabila jawapan yang dilontarkan oleh juruhebah yang bertugas itu sesuatu yang menjengkelkan. 

Seakan mereka mempermainkan isu masalah tersebut dan menjadikannya sebagai lawak jenaka yang diakhiri dengan hilai tawa mereka. Terkadang rakaman itu diputarkan berkali-kali di dalam radio terbabit yang bertujuan untuk mempromosikan slot rancangan mereka itu.

Bagi saya, tidak sepatutnya mereka memperlakukan sedemikian, walaupun mereka adalah diantara agen hiburan. Maruah dan sensitiviti orang lain perlu dijaga supaya hormat menghormati itu kan terus subur. Walaupun kita ingin mengejar sesuatu nilai komersial yang lebih tinggi, biarlah ia berhemat dan selamat.

Saya tidak bersetuju dengan trend radio zaman sekarang yang lebih mementingkan hiburan daripada nilai estetika budaya bangsa,agama, dan negara yang lebih praktikal. Saya menyeru supaya rancangan seperti ini perlu dikaji semula supaya adab kesopanan bangsa melayu tidak akan gugur ditelan zaman.

Cetusan1986

SUMMER CAMP ANAK SOLEH MEWARNAI SEJARAH


Dengan Nama Allah yang maha pemurah lagi Maha Penyanyang

Bermulanya kisah dari seorang ibu yang ingin melihat anaknya diterima masuk ke sebuah menara gading sehinggalah kepada program yang mencetuskan pelbagai ceritera menarik dan pastinya meninggalkan seribu kenangan ini.
                               Penyertaan program  yang diluar jangka

Selama 3 hari ia berlangsung bermula 22 Nov sehingga 24 Nov 2010 yang mendapat penyertaan seramai 119 orang ini ibarat penuh berprestij apabila ruang dan masa di isi dengan apa jua pendekatan yang memberi makna kepada para peserta. Antara Konsep yang diketengahkan ialah Intelektual Spiritual dimana elemen akademik dan kerohanian digarap bersama supaya ia lebih seimbang.
                                        Akal yang sihat bermula daripada minda yang sihat

 Selain itu Junior Leaderships Training Zone juga menjadi antara intipati program ini yang menekankan pembawakan personaliti sebagai seorang pemimpin muda yang berkaliber. Walaupun ada yang beranggapan program seumpama ini sebenarnya hanya sekadar pengisian yang belum menjamin akan suatu perubahan, namun pada hakikatnya ia mampu menjadi turning point yang berkesan. 


                                      Mahasiswa juga perlu mempunyai kemahiran insaniah yang padu

Pusat Islam UiTM Kedah memberi persepsi kepada nilai tambah yang perlu ada kepada mahasiswa/i UiTM Kedah khususnya yang dilantik sebagai krew dan fasilitator agar mendepani sesuatu perkara yang baru dan dapat menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.Seramai 18 orang mahasiswa/i menjadi kekuatan kepada kelancaran program ini.

                                   Pendekatan berpusat terus kepada peserta dilihat lebih berkesan

Sebagai penganjur, Pusat Islam UiTM Kedah dengan usahasama iQES Consultancy Group ini mahu melihat tunas Islam yang baru bercambah akan mampu berdiri dibarisan hadapan sebagai penegak agama Allah yang bukan sekadar berani bahkan mempunyai ilmu yang cukup untuk berdepan dengan musuh. Insya-Allah.
Penulis
BY Abdul Hadi Mohamad al-Bakri

SELAMAT DATANG SIMBIOSIS HIJAU


Assalamualaikumwarahmatullah..

SELAMAT DATANG, AHLAN WASAHLAN Kepada semua pengunjung laman ini yang baru sahaja dilancarkan dengan rasminya sebagai alternatif blog yang ada di dunia maya ini.

Saya merupakan Blogger yang baru belajar menerokai dunia penulisan yang memungkinkan segala idea dan pandangan boleh dilontarkan di sini secara bebas, berhemah dan liberal secara umumnya.

SIMBIOSIS merupakan kebergantungan yang merujuk kepada hidupan ataupun parasit yang tumbuh menumpang dan cara hidupnya ialah dengan menjalar dibatang atau dahan pokok. Tumbuhan ini sangat memerlukan tumbuhan lain untuk menyokong kehidupannya.


HIJAU adalah merujuk kepada warna yang melakari hamparan muka bumi ini. Hijau adalah sesuatu yang segar dan bermakna. Ia melambangkan keluhuran dan kesetiaan dalam sesuatu perjuangan. Oleh itu jugalah hijau dijadikan sebagai warna simbolik kepada penyatuan Roh dan semangat spiritual iaitu Islam.

Maka SIMBIOSIS HIJAU ini menjadi simbol kepada epilog kehidupan manusia yang hanya  hidupan sekadar menumpang cuma dibawah naungan dan rahmat Allah SWT. Tanpa Allah SWT kita tidak akan mampu hidup dan bernafas di muka bumi Allah ini. 

Dengan semangat kebersamaan dan kecintaan kita kepada Allah, Perjuangan dalam menegakkan Islam mesti diteruskan sebelum perjalanan sementara ini terhenti dan menemui titik NOKTAHNYA.




Penulis
By Abdul Hadi Hj Mohamad al-Bakri